Blogger Widgets

Tuesday, 11 December 2012

KARANGAN: JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN
1. Terdapat beberapa jenis pengenalan karangan untuk memulakan penulisan.

2. Antaranya termasuklah:
         a. pendahuluan jenis definisi
         b. pendahuluan jenis pendapat
         c. pendahuluan jenis suasana
         d. pendahuluan jenis persoalan
         e. pendahuluan jenis peribahasa
         f. pendahuluan jenis sejarah
         g. pendahuluan jenis puisi

Pendahuluan Jenis Definisi
Contoh Soalan
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

Contoh Pendahuluan
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Pendahuluan Jenis Pendapat
Contoh Soalan
Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Contoh Pendahuluan
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

Pendahuluan Jenis Suasana
Contoh Soalan
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa kejadian itu berlaku.


Contoh Pendahuluan
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar akan jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Pendahuluan Jenis Persoalan

Contoh Soalan
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Contoh Pendahuluan
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Pendahuluan Jenis Peribahasa

Contoh Soalan
Tulis suatu rencana yang bertajuk “Perpaduan Asas Kemajuan” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda.


Contoh Pendahuluan
Orang Melayu sememangnya kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Bagai aur dengan tebing”, dan “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”. Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Pendahuluan Jenis Sejarah

Contoh Soalan
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.


Contoh Pendahuluan
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

Pendahuluan Jenis Puisi

Contoh Soalan
Bincangkan faedah-faedah menuntut ilmu.


Contoh Pendahuluan

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak di cari,
Mana yang dapat janganlah lupa.

Daripada pantun dua rangkap di atas, kita dapat melihat bahawa ilmu sangat penting dan setiap orang digalakkan menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu dapat diibaratkan seperti obor yang dapat menerangi malam yang terang, bahkan ilmu dikatakan menjadi teman ketika keseorangan, dijadikan teman ketika keseorangan, dijadikan teman ketika diperantauan, dan menjadi penyuluh dalam kegelapan. Kini, kita mendapati bahawa orang yang berilmu mencapai kejayaan dalam hidup mereka, manakala orang yang jahil terkial-kial entah di mana. Oleh itu, setiap orang digalakkan menuntut ilmu kerana ilmu mempunyai pelbagai faedah dan manfaatnya.

No comments:

Post a Comment